2012 - Utusan Malaysia

EvoEcohome ikut kehendak pembeli

Pembinaan rumah yang menggunakan konsep EvoEcohome membantu pasangan muda memiliki rumah mengikut kemampuan mereka. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pemaju hartanah, Bulatan Mekar Sdn. Bhd. akan mengaplikasikan konsep EvoEcohome untuk membina rumah mampu milik mengikut kehendak pembeli, kata Pengarah Urusan, Mohammad Sahar Mat Din. Katanya, EvoEcohome ialah pembinaan rumah jenis bertanah, yang mana struktur asas rumah yang dibina fleksibel dan boleh diubah suai dengan mudah pada masa akan datang mengikut keperluan sebenar pembeli. "Konsep pembinaan rumah ini boleh membantu pasangan eksekutif muda memiliki rumah yang bersesuaian dengan pendapatan mereka selain selesa untuk didiami," katanya. Model EvoEcohome, yang dibangunkan sejak tahun lalu merupakan hasil penyelidikan bersama Bulatan Mekar dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau berkata, konsep pembangunan itu berasaskan strategi teras yang berorientasikan sosial, di mana sebahagian peranan pemaju diserahkan kepada pemilik. "Kebanyakan rumah dibina siap untuk keperluan keluarga yang besar dan melebihi keperluan pasangan yang baru berkahwin yang biasanya hanya memerlukan ruang asas seperti sebuah bilik tidur berbanding empat bilik yang sedia ada," katanya.

Konsep seperti itu telah pun diguna pakai di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Kanada dan kini sudah tiba masanya konsep yang sama diperkenalkan kepada negara ini, katanya. Mengenai kos, oleh kerana konsep pembinaan yang minimum, Mohammad Sabar berkata kos pembinaan awal rumah dapat dikurangkan sehingga 40 hingga 50 peratus dan ini seterusnya mengurangkan beban pemaju dan memberi manfaat kepada pembeli khususnya. "Kami telah mendapat respons positif terutamanya dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju Sistem Berasaskan Industri dan usaha ini sejajar dengan hasrat PKNS sendiri untuk meningkatkan jumlah pemilikan rumah berkualiti untuk rakyat," katanya. Mohammad Sahar berkata, syarikatnya menjangka untuk memulakan projek perintis pada awal tahun depan di atas tanah seluas 80 hektar untuk 2,000 unit rumah dengan kerjasama pihak PKNS dengan nilai pembangunan kasar sekitar RM400 juta. "Pembangunan EvoEcohomes berpotensi besar untuk berjaya dan seterusnya memberi implikasi besar kepada penyelesaian pemilikan rumah di Malaysia," katanya. - BERNAMA

2012 - Harian Metro