Pesona Mekar
Casa Mekar
Anggun Pesona
Citra Pesona
Sentosa Mekar
Aman Pesona
Gerbang Pesona
Puncak Mekar
Desa Mekar
 
 
- IBADAH DAN JIHAD BISNES

Konsep ibadah kita lakukan tidak hanya difahamkan secara terbatas dengan melakukan solat, siyam, zakat, dan haji saja. Tetapi hakikat disebalik melakukan solat membawa keinsafan bahawa jiwa kehambaan yang tinggi menerusi ruku’ dan sujud boleh mendidik kita menjadi peka terhadap rahmah dan nikmah Allah yang perlu diuruskan dengan khusyuk atau bersunguh-sunguh. Apabila kita sujud, fakuliti akal adalah dalam posisi kehambaan yang amat tinggi. Sekiranya jiwa kehambaan ini dibudayakan dengan memiliki focus (khusyuk) yang tinggi, manusia Muslim melihat amanah mengurus sumber-sumber kurnian Allah menjadi suatu tuntutan dan kewajipan. Sumber air yang banyak, sumber buah-buahan dan sayur-sayuran, sumber haiwan yang membiak, sumber minyak, gas yang kaya di perut bumi orang-orang Islam menuntut tekad pengurusan yang tinggi. Ruh al solat mendorong manusia Muslim untuk tampil dengan ilmu yang terkini, ketrampilan yang semasa, strategi bisnes yang bijaksana dan faham akan kerenah sistem kapitalis-liberal, jerangkap globalisasi yang kompleks dan mampu memberikan alternatif yang terbaik supaya amanah Allah dapat diuruskan secara ‘adil dan ihsan’ menepati maksud binaan solat untuk mengatasi ‘fahsya’ dan mungkar yang boleh wujud dan menguruskan amanah Allah khususnya bisnes dengan tekad yang tinggi dan bijaksana.

Begitu juga siyam atau amalan berpuasa membawa manusia Muslim terdidik dengan ketahanan tinggi dan jiwa pengorbanan, dan itulah jihad. Siyam adalah sekolah atau latihan mendidik nafsu dan hati. Timbulnya sifat tamak, rakus dan mementingkan diri sendiri dalam bisnes umpamanya akibat penyakit hati yang serius dan nafsu al amarah yang tinggi. Siyam mempertalikan asas rohaniah insan ke arah kejernihan manusiawi atas asas ‘adil dan ihsan’. Menghayati maksud siyam menjadikan ahli bisnes Muslim orang-orang yang sentiasa bersyukur dengan rezeki Allah dan dapat memikirkan bagaimana sumber Allah yang banyak dapat diuruskan dengan bijaksana dan ianya menyumbang ke arah pembangunan umat kerana di kalangan umat terdapat orang-orang yang miskin harta dan miskin ilmu, dhaif diri dan dhaif hati, papa fakir dan papa ikhtiar, kedana semangat dan muflis tekad. Siyam mendorong hati-hati insane untuk menginsafi bahawa al falah atau kejayaan dalam perjuangan ibadah mesti dikaitkan seluruh usaha yang dilakukan adalah jihat dan hikmahnya adalah untuk ummah dan juga umat manusia.

Menyempurnakan zakat adalah sesuatu amalan kesediaan untuk memberi dan berkorban terhadap orang lain. Untuk melakukan pemberian dan pengorbanan sudah tentu memerlukan sumber. Bisnes adalah sumber utama rezeki bagi umat Islam seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, institusi zakat sekiranya dapat diperkemaskan dalam sistem kewangan negara dan organisasi, ianya mampu mengubah arah pembangunan ekonomi dan ketahanan umat. Lebih-lebih lagi bila budaya zakat menjadikan umat Islam berlumba-lumba untuk terlibat dalam bisnes, ianya boleh menyebabkan kemajuan ekonomi umat meningkat dan ibadah dalam bisnes dapat membantu orang lain menikmati kesejahteraan yang Allah limpahkan. Inilah maksud doa ‘fiddunya hasanah’ dan wafilaakhirati hasanah’ dan mudah-mudahan kita terelak dan ‘waqina azabannar’. Inilah asas bagaimana penglibatan dalam bisnes atas maksud duniawi dan juga ukhrawi kerana apa yang kita lakukan didunia terkait sama dengan apa yang akan kita terima di akhirat nanti.

Begitu juga mengerjakan haji adalah lambang kembalinya kita kepada Pencipta. Kita melakukan tawwaf, saie, wukuf dan jambrah dalam semangat ‘labbaikallah hummalabbaik’ meletakkan diri insan sebagai hamba yang amat dhaif, memohon pertunjuk dan kekuatan, keampunan dan hidayah dan akhirnya kembali sebagai manusia fitrah iaitu haji yang mabrur. Kemabruran adalah matlamat hidup insan. Ruh al Hajj harus mampu meningkatkan jihad diri dan jihad terhadap ummah dan bisnes adalah salah jihad yang utama membangunkan ekonomi umat supaya umat tidak berada dalam kehinaan, makanan dan pemakanan yang penuh dengan subahat, urusniaga berlaku dalam riba’ dan pengumpulan harta dan kekayaan berlaku secara salahguna. Semangat kembalinya kita kepada Pencipta membawa kesedaran yang mendalam bahawa bisnes adalah suatu sektor yang boleh menentukan kekuatan dan ketahanan umat.

 
 
  Laman Utama : Pengenalan Syarikat : Hubungi Kami : Borang Pendaftaran : Peta Laman :    
Hakcipta © Bulatan Mekar Sdn.Bhd 2005